Ahad, 22 Januari 2012

Kemahiran Proses Sains Asas


1. Memerhati iaitu menggunakan pancaindera untuk mengenal pasti ciri-ciri objek, perubahan, persamaan dan
    perbezaan.
    Contoh : Memerhati sifat-sifat fizikal yang terdapat pada haiwan.
.
2. Mengelas iaitu mengumpul objek atau peristiwa mengikut persamaan dan perbezaan.
    Contoh : Mengelaskan haiwan mengikut sifat fizikal seperti berbulu, bersisik, berkaki, berkepak dan
    bercangkerang.

3. Mengukur dan menggunakan nombor iaitu membuat pemerhatian kuantitatif dengan membanding kepada
    piawai tertentu.
    Contoh : Mengukur jarak yang menggunakan satu unit panjang yang seragam seperti jengkal, pensel, buku  
    atau pembaris ( berunit cm ).

4. Membuat inferens iaitu membuat kesimpulan awal untuk menerangkan sesuatu peristiwa berdasarkan sebab- 
    sebab atau alasan-alasan tertentu.
    Contoh : Membuat inferens tentang kegunaan bahan berdasarkan sifat-sifat fizikalnya melalui perbincangan.
  
5. Meramal iaitu membuat jangkaan terhadap sesuatu peristiwa yang akan berlaku berdasarkan pemerhatian atau
    inferens.
    Contoh : Menggambar kisah keadaan sekeliling jika tiada cahaya matahari, secara melukis, mengarang atau
    berlakon.

6. Berkomunikasi iaitu memindahkan maklumat atau idea kepada orang lain secara lisan atau bertulis.
    Contoh : Menjalankan perbahasan atau menulis karangan tentang faedah mengitar semula bahan buangan
    untuk pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

7. Menggunakan perhubungan ruang dan masa iaitu mengenal pasti bentuk dan pergerakan mengikut masa.
    Contoh : Mengukur dan membanding jarak yang dilalui oleh dua objek yang bergerak selama satu unit masa   
    yang ditetapkan.

Kemahiran Proses Sains Bersepadu


1. Mentafsir maklumat iaitu memberi penerangan tentang pola atau peristiwa berdasarkan maklumat yang dikumpul.
Contoh : Menyiasat putaran Bumi dengan merekodkan perubahan ukuran dan kedudukan bayang-bayang sesuatu objek dari semasa ke semasa.


2. Mendefinisi secara operasi iaitu memberi takrif dengan memperihalkan apa yang diperhatikan.
Contoh : Menyatakan maksud teknologi.


3. Mengawal pembolehubah iaitu mengenal pasti semua pembolehubah iaitu aspek-aspek yang boleh mempengaruhi hasil eksperimen. Menjalankan eksperimen dengan hanya memanipulasikan satu pembolehubah sementara pembolehubah yang lain dimalarkan.
Contoh : Menjalankan eksperimen untuk mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan pengaratan.


4. Membuat hipotesis iaitu membuat tekaan intelek yang boleh diuji berdasarkan bukti yang telah dikumpul.
Contoh : Menguji hipotesis tentang cara untuk mencegah bahan daripada berkarat.


5. Mengeksperimen iaitu menyiasat, memanipulasikan pembolehubah dan menguji hipotesis untuk membuat keputusan.
Contoh : Menjalankan eksperimen untuk mengkaji persaingan anak benih.



Sumber : Pedagogi Sains 1 : Kurikulum Sains Poh Swee Hiang (1997)